CATATAN A.F.YASSIN
Anugerah Sastera NS
Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) patut dipuji kerana perjuangannya memartabatkan sastera kini sampai ke puncaknya apabila Kerajaan Negeri bersetuju mewujudkan Anugerah Sastera Negeri Sembilan mulai tahun ini. PEN turut mendapatkan kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka yang tentunya akan menyediakan kepakaran dalam memproses anugerah berkaitan, terutama pelantikan panel penilai dan bantuan teknikal lain.
Menurut PEN, anugerah dibahagikan kepada tiga kategori A,B dan C. Tidak pula dijelaskan lebih lanjut. Karya yang layak ditandingkan adalah yang telah tersiar atau dibukukan sejak tahun 1990. Karya hendaklah dihasilkan dalam bahasa Melayu oleh “pengarang-pengarang Negeri Sembilan”.
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan barangkali akan bekerjasama sebagai pusat sumber penyediaan karya. Kerjasamanya akan menjadi lebih penting kerana penilaian sesuatu karya atau penulis amat bergantung kepada sebanyak bahan yang dapat disediakan.
Bagaimanapun pengumuman Anugerah Sastera ini yang dibuat Sabtu lalu menimbulkan beberapa persoalan. Biasanya apabila disebut Anugerah Sastera, tergambar yang akan menerima anugerah ialah penulis atau pengaranng yang telah menghasilkan karya sejak sekian tahun, dalam hal Anugerah Sastera Negeri Sembilan sejak 15 tahun yang lalu. Penulis dinilai dari sudut pengkaryaannya dan konsistensinya berkrya di samping kegiatannya memartabatkan sastera. Ini konsep yang diguna pakai oleh Anugerah Sasterawan Negara.
Pengumuman yang dibuat PEN tidak pula menjelaskan konsep ini. Yang dinyatakan ialah “Hadiah dikhususkan untuk karya yang diterbitkan dalam bentuk buku, majalah ataupun akhbar dan skrip drama yang pernah disiarkan di media elektronik atau dipentaskan sejak 1990 hingga 2004.” Sementara anugerah dibahagikan dalam tiga kategori A, B dan C.
Pembahagian mengikut kategori ini tidak dijelaskan. Yang inginkan penjelasan diminta meghubungi Urus Setia di Seremban. Mengingatkan perangai penulis yang “malas” berbuat demikian maka dirasakan wajar Urus Setia Anugerah Sastera Negeri Sembilan ini memberi penjelasan “sejelas-jelasnya” melalui media supaya penulis-penulis yang berasal di Negeri Sembilan, walau dimana jua mereka berada, hanya tinggal mengirimkan karya dan keterangan diri.
Seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, ketika dihubungi, turut keliru dengan pengumuman itu. Katanya, “Saya tak pasti yang dinilai untuk anugerah itu karya ecerannya atau penulisnya sendiri berdasarkan konsistensinya berkarya atau kegiatannya berkarya sepanjang tempoh yang disebutkan. Juga saya ingin tahu sama ada karya sastera kanak-kanak dan remaja termasuk dalam anugerah ini.”
Menurutnya, PEN perlu berhati-hati dalam memberi nama. Katanya lagi, “Daripada pengumuman itu saya rasa lebih sesuai PEN menamakannya Hadiah Sastera Negeri Sembilan, bukan Anugerah yang biasanya diberikan kepada orangnya bukan karya. Tapi ini Cuma pandangan saya. Tidak semestinya ia betul.”
Masalah lain yang menyangkut anugerah ini ialah calon-calon yang mungkin ikut serta. Jika untuk Anugerah Sasterawan Negara calon-calonnya boleh disenaraikan daripada seluruh penulis di Malaysia, untuk Anugerah Sastera Negeri Sembilan calon-calonnya hanya mereka yang berasal di Negeri itu seperti yang disebut dalam pengumuman berkenaan.
Namun yang membezakan antara Anugerah Sasterawan Negara dengan Anugerah Sastera Negeri Sembilan ialah “Sasterawan” dan “Sastera”. Negeri Sembilan memberikan keutamaan kepada “Sastera” bukan “Sasterawan”nya. Yang sedikit mengelirukan mungkin ialah perkataan Anugerah itu sendiri. Seperti kata pegawai itu, “Anugerah biasanya diberikan kepada orangnya bukan karyanya.”
Berapa ramaikah jumlah penulis Negeri Sembilan, termasuk pengarang yang telah menyemenda ke Negeri Sembilan seperti Agoes Salim yang berasal dari Muar. Selain Agoes, ada pula SN Datuk Abdullah Hussein dan Atondra yang telah menyemenda lama ke Negeri Sembilan. Apakah sudah ada pengarang anak watan Negeri Sembilan atau karya-karya sasteranya yang layak dicalonkan untuk menerima anugerah, bukan lagi hadiah? Oleh kerana tempoh pengkaryaan dibataskan dari 1990 hingga 2004, maka pengarang dan karya juga turut terbatas.
Tokoh veteran seperti Mustapha Kamal Yassin (Kala Dewata), umpamanya, akan terkeluar daripada senarai calon kerana tidak pasti sama ada beliau mempunyai buku atau karya yang diterbitkan dalam tempoh itu.Sedangkan beliau tokoh yang boleh dianggap membanggakan negeri adat Perpatih itu untuk katehori drama.
Begitu juga halnya dengan tokoh pengarang yang sudah meninggal dunia, seperti halnya Kamaruzzaman Kadir (Dharmawijaya). Bolehkah Allahyarham ini dicalonkan kerana beliau mempunyai beberapa buah buku dan karya yang telah diterbitkan sepanjang tempoh itu. Tokoh pengarang lain yang telah pergi dan masih dianggap berwibawa ialah Ismail Hadi (Ismala),
Pegawai Dewan Bahasa itu bertanya, “Apakah karya yang dimaksudkan itu khusus yang bersifat sastera (fiksyen) atau termasuk juga yang bukan sastera? Bagaimana dengan karya akademik tetapi berkait dengan bidang kesusasteraan. Kita tahu tokoh akademik yang juga penulis seperti Shamsul Amri Baharuddin dan Norhalim Ibrahim bukan calang-calang penulis dan banyak buku mereka telah diterbitkan sepanjang tempoh 15 tahun itu.”
Pegawai itu mencadangkan untuk berlaku adil, sebaiknya Urus Setia Anugerah ini meminta kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan mencari bahan-bahan yang relevan dengan penganugerahan ini sepanjang 15 tahun yang lalu, tanpa menunggu penulis mengirimkan karya-karya mereka untuk dinilai. Ikut seperti apa yang Dewan Bahasa lakukan untuk Anugerah Sasterawan Negaranya. Apapun jua, pegawai Dewan Bahasa menyebut beberapa nama yang unggul sebagai calon antaranya Latiff Mohiddin, Dr. Zakaria Ali dan Dharmawijaya jika karya Allahyarham diberikan pertimbangan. Di kalangan orang semenda ada pula Abdullah Hussein, Atondra dan Agoes Salim. Ends
Wednesday, April 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment