Wednesday, April 30, 2008

TUGAS UNDANG MENJUNJUNG ADAT

Tugas Undang Luak Menjunjung Adat
Oleh A.F.Yassin

Baru-baru ini timbul satu insiden apabila seorang undang luak di Negeri Sembilan menengkari sumpah setianya untuk menjunjung adat ketika menyandang jawatan pesaka itu. Undang ini dikatakan berkelakuan di luar peraturan adat, memberikan isyarat kurang sopan kepada pembesar negeri dalam satu majlis rasmi yang ada kaitannya dengan kesucian agama Islam.

Menteri Kebudyaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Seri Dr Rais Yatim kurang senang dengan kelakuan undang ini. Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mendisiplinkan undang yang satu ini. Kalau perlu Dewan Keadilan Negeri yang berperanan mengawal perjalanan Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mencari jalan bagaimana sebaiknya masalah kelakuan kurang sopan oleh seorang pemimpin adat ini diselesaikan. Atau menteri besar, Dato’ Mohammad Hassan turun tangan. Bagaimanapun, menteri besar awal-awal lagi menolak sebarang campur tangan kerana masalah orang besar adat, seperti undang bukan dalam bidang kuasanya untuk menylesaikannya.

Dari segi hukum adat, penolakan menteri besar ini dilihat betul dan tepat. Sememangnya menteri besar tidak punya kuasa membuat keputusan. Kuasanya hanyalah “memberi gaji dan elaun” kepada semua undang luak dan lembaga-lembaganya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri. Malah dari segi heirarki pentadbiran negeri, undang luak merupakan institusi kedua setelah Yang Dipertuan Besar. Sementara institusi menteri besar terletak setakuk di bawah.

Seorang pemerhati adat di Seremban menilai kelakuan kurang sopan undang luak ini bukan yang pertama kali. Katanya, “Itu baru isyarat. Ada yang telah membuat keputusan sendiri yang menyalahi adat yang telah menaikkannya. Kadang-kadang undang luak ini terlupa akan sumpah perlantikannya, mahu mempertahankan adat. Saya berani katalah perbilangan jangan mati anak jangan mati adat itu sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang. Ada undang luak yang terang-terang mematikan adat yang menaikkannya ke darjat sekarang.”

Menurutnya, pernah suatu waktu dahulu seorang undang luak memberi gelaran kepada anak buah atau individu yang disukainya. Padahal tidak ada peruntukan dalam peraturan adat seorang undang luak memberi gelaran. Juga undang luak tidak mempunyai kuasa melantik Lembaga atau buapak kerana kuasa itu terletak di tangan anak buah lembaga atau buapak. Tugas undang luak adalah menasihati dan menjaga perjalanan adat. Kuasa Undang yang utama ialah memilih Yang Dipertuan Besar dari kalangan calon-calon yang disenaraikan dari kalangan kerabat diraja.

Apa akan berlaku kepada sistem dan peraturan adat jika salah seorang pentadbir adat bertindak “kurang sopan dan tak beradat.” Jika sesuatu tindakan tidak diambil, Lembaga, buapak dan anak buah dalam lingkungan adat akan memandang serong kepada orang besar adat itu. Mereka berasa dipermalu kerana pilihan mereka selama ini dikirakab kurang tepat, iaitu memilih seorang ketua adat yang “mematikan adat” itu sendiri.

Menurut syarat-syarat perlantikan, undang luak yang bertindak di luar batas hukum adat boleh dipecat. Tetapi tindakan memecat hanya boleh dilakukan oleh Lembaga Tiang Balai, sekumpulan datuk-datuk lembaga, yang memilih dan melantiknya dahulu. Kuasa melantik dan memecat terletak di tangan mereka.

Berdasarkan sistem pemilihan ini maka Yang Dipertuan Besar melalui Dewan Keadilan tidak mempunyai wewenang (kuasa) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana undang luak yang empat. Kuasanya terbatas kepada usaha menasihati. Menurut pemerhati adat di Seremban itu, Lembaga Tiang Balai boleh mengambil daya usaha untuk bertindak. Satu penyiasatan boleh dilakukan oleh mereka dan kemudian membuat keputusan apa cara tindakan yang paling sesuai untuk “menjinakkan” undang luak terbabit. Keputusan itu kemudian dibawa ke pengetahuan Menteri Besar atau Dewan Keadilan Negeri untuk mendapatkan restu. Hal ini penting kerana menteri besar dianggap majikan luak undang. Ia melibatkan “gaji dan elaun” undang luak.

Pernah terjadi Lembaga Tiang Balai dan Ibu sako memecat undang luak yang dilantiknya dahulu kerana salah laku adat. Tetapi menurut ceritanya menteri besar ketika itu tidak merestui pemecatan berkenaan dan akhirnya undang luak terbabit masih dianggap ketua adat yang rasmi dengan mendapat gaji dan elaun penuh setiap bulan hingga ke hari ini. Maka terlihat ada konflik kepentingan dalam kes ini. Lembaga Tiang Balai dan Ibu Sako tidak lagi mengakui undang luak berkenaan, tapi kerajaan negeri masih menganggapnya undang luak yang rasmi. Dengan perkataan lain, dari segi adat undang luak ini tidak lagi menjadi ketua, tetapi dari segi politik, beliau tetap ketua adat dan terus memegang jawatan ketua adat.

Untuk menyelesaikan krisis adat dan salah laku seorang undang luak yang menjadi kes sorotan minggu ini, ada baiknya Lembaga Tiang Balai undang luak mengambil inisiatif, bertindak membetulkan keadaan. Keberanian lembaga tiang balai bertindak akan menjamin kedaulatan undang-undang adat di luak yang terbabit. Soalnya, beranikah lembaga tiang balai bertindak? Atau dengan soalan yang lain, sanggupkan lembaga tiang balai bertindak terhadap orang yang kini menjadi ketuanya?

Kata pemerhati adat itu, “Sebenarnya sejarah berulang kembali. Kepentingan politik lebih diutamakan. Kepentingan adat tidak akan mengatasi kepentingan politik. Apatah lagi orang sekarang, teruatama anak-anak buah undang luak tidak ambil kisah lagi tentang perjalanan adat. Keadaan ini tentunya dimanfaatkan oleh sesetengah pembesar adat untuk kepentingannya. Malah ada ketua adat berlindung di bawah kepimpinan politik. Seolah-olah orang adat ditentukan nasibnya melalui kuasa politik, bukan kuasa adat.”

Jalan tengah menyelesaikan kemelut ini ialah adalah dengan membentuk satu mahkamah adat khas yang berpusat. Mahkamah ini diberi kuasa untuk membicarakan undang luak yang empat, termasuk Tengku Besar dan beberapa penghulu adat yang lain atas dasar individunya, jika mereka didapati bertindak di luar kepentingan adat. Mahkamah ini diwujudkan seperti halnya mahkamah khas untuk sultan dan raja. Hakimnya mungkin dipilih daripada anggota Lembaga Tiang Balai dari keempat-empat luak (Sungai Ujong, Jelebu, Rembau dan Johol) dan bersidang jika ada keperluan.

Ketua hakim hendaklah seorang yang mahir tentang adat, sejarah dan perkembangannya di samping mempunyai pengetahuan luas dalam bidang perundangan. Pemerhati adat itu mencadangkan supaya penubuhan mahkamah khas itu dilakukan secepat mungkin dan menjadikan tindakan kurang sopan undang luak baru-baru ini sebagai kes sulungnya. Ends

No comments: